Tuesday 18 December 2012

Kisah Teladan: Mungkin Ya Atau Mungkin Juga Tidak


Ada seorang wanita tinggal di hujung kampung. Pada suatu hari, wanita tersebut pergi menemui imam kampung itu untuk memberitahu bahawa kucing kesayangannya telah hilang.


"Tuan Imam, kucing saya telah hilang. Inilah perkara yang paling menyedihkan berlaku pada saya." kata wanita tersebut dengan linangan airmata.


"Mungkin ya atau mungkin juga tidak" jawab Imam.


"Apa maksud Tuan. Saya sangat sayang akan kucing itu. Apa lagi yang lebih menyedihkan selain daripada kehilangan sesuatu yang kita sayang" kata wanita tersebut.


Wanita itu meninggalkan rumah Tuan Imam dengan perasaan sedih. Dia mula berjalan ke sana ke mari mencari kucing kesayangannya. Dalam pencarian tersebut, dia menemui lelaki idaman hatinya.


Wanita tersebut kembali ceria lalu mendatangi rumah Tuan Imam.


"Tuan, bagaimana tuan tahu bahawa kehilangan kucing akan membawa kebaikan pada saya? Saya telah menemui jejaka idaman saya dan ini adalah suatu perkara yang baik yang berlaku pada diri saya"


"Mungkin ya atau mungkin juga tidak" balas Tuan Imam.


"Selama ini saya hidup keseorangan dan kesunyian. Sekarang saya mempunyai teman. Apalagi perkara yang lebih menggembirakan selain daripada menemui jejaka idaman hati"


Wanita itu menganggap Tuan Imam itu tidak siuman. Dia pulang ke rumah dan alangkah terperanjatnya apabila mendapati lelaki idamannya berlaku curang dengan teman baiknya sendiri. Sekali lagi wanita tersebut pergi menemui Tuan Imam.


"Tuan Imam, betullah kata Tuan, menemui lelaki idaman bukanlah sesuatu yang baik untuk saya. Ia malah menyakitkan"


"Mungkin ya atau mungkin juga tidak" kata Tuan Imam.


"Tidak ada kesakitan dan kesedihan yang lebih teruk selain dari dicurangi oleh lelaki yang disayangi dan dikhianati oleh kawan baik sendiri"


Wanita itu pulang ke rumah. Dia mengumpul semua hadiah pemberian lelaki idaman dan kawan baiknya sendiri lalu dibawa ke belakang rumah untuk ditanam. Dia tidak ingin menatap segala pemberian itu dan membuatkan hatinya bertambah sakit. Ketika dia mengorek lubang, mata cangkulnya terkena sesuatu yang keras dan bersinar. Setelah diteliti, benda keras itu ialah ketulan emas.


"Apalagi yang lebih baik selain daripada memperolehi emas secara percuma" fikir wanita itu. Namun kata-kata Imam.."mungkin ya atau mungkin juga tidak" terngiang-ngiang di telinganya.


Tidak semua kejadian atau situasi yang teruk akan membawa keburukan. Kita mungkin akan mendapat seribu kebaikan daripada situasi yang kita fikir teruk dan menyakitkan itu. Kuncinya ialah jangan cepat bersangka buruk kerana apa yang berlaku walau seteruk mana sekali pun boleh membawa kebaikan bergantung kepada cara kita menangani situasi tersebut. Belajar menilai situasi, hargai setiap cabaran dan dugaan yang datang dan jangan membuang masa dengan membebel dan merungut. Sometimes, it takes a wrong, to make things right. It takes a problem, to receive the promise. It takes a difficulty, to bring deliverance!

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen dan cadangan yang membina. Sila datang lagi..

Labels

Pos Popular

get this widget here